Setiap jam dari pukul 3.30 pagi tadi, Affandy tidak henti-henti muntah. Affandy jarang jatuh sakit. Jadi saya agak risau bila tanpa sebab, dia terus muntah-muntah. Saya fikir mungkin dia terkena makanan beracun. Tapi semalam, apa yang dia makan, kami makan juga. Jadi saya merumuskan mungkin perutnya masuk angin.
Lumrah bagi seorang ibu, apabila anaknya sakit, orang pertama yang dia ingin jumpa adalah doktor. Kadang-kadang kita perlu tunggu lama untuk berjumpa doktor. Doktor periksa sebentar dan beri ubat. Kita pulang, makan ubat dan berehat. Jika kita sembuh, kita akan mengatakan dokter yang dapat menyembuhkan kita. Jika tidak, kita akan jumpa doktor lagi untuk mengambil ubat yang lain pula. Saya mengaku, dulu saya seperti itu.
Tapi itu dulu.
Kini persepsi saya berbeza. Tidak dinafikan tugas doktor adalah mulia. Tapi ada doktor yang maha hebat dari segala doktor di dunia – ALLAH. Ilmu yang saya raih di kelas agama ternyata banyak membuka minda saya. Saya cuba sedaya upaya untuk tidak memakan ubat kimia yang dibuat oleh manusia. Ustaz ada menyatakan, ramai di kalangan kita yang terus berjumpa doktor bila sakit. Sedangkan bukan doktor yang mencipta kita. Ibarat sebuah telepon bimbit yang rosak, sudah pasti kita akan menghantar telepon itu kepada pengusaha yang membuat telepon tersebut. Sebab hanya yang menciptakanlah yang akan faham tentang produk itu.
Sama seperti tubuh kita. Seharusnya bila kita sakit, yang pertama kita harus jumpa adalah ALLAH. Dialah yang mencipta kita, maka Dialah yang berhak untuk kita minta pertolongan. Allah yang mengatur segala perjalanan tubuh badan kita. Setiap nadi, urat, darah, penafasan atau sel-sel tubuh kita bergerak di bawah perintah Allah. Allah memberi kita sakit, maka hanya Allah yang mampu menyembuhkannya. Doktor dan ubat hanyalah sebagai pengantaraan saja.
“Dialah Allah yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku. Dialah Allah yang memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku.” ~ Surah As-Syu’ra :78-80
Ternyata bukan ubat atau doktor yang menyembuhkan penyakit kita. Ustaz berpesan, jangan sampai hilang keimanan bila kita sakit. Kata-kata hikmah inilah yang mendorong saya agar kembali langsung pada Allah bila saya sakit.
Berbalik pada Affandy, apabila saya mengingatkan kembali kata-katanya tentang kematian kelmarin, hati saya menjadi gusar. Tapi saya pasrah. Sebagai umminya, yang mampu saya lakukan adalah berdoa. Saya benar-benar berdoa pada Allah agar memberi kesembuhan pada anak saya. Saya gosok-gosokkan perutnya sambil membaca Selawat Syifa’. Terasa lemah hati saya bila mendengar Affandy merintih kesakitan.
Kali terakhir Affandy muntah ialah pada pukul 6.30 pagi. Walaupun dia masih lemah, tapi dia kelihatan semakin sihat. Saya tersentuh apabila ketika kami sekeluarga berzikir selepas sholat Maghrib berjemaah, dia menggunakan tasbih pemberian Atoknya. Dia juga ingin mengaji selepas zikir. Dari keinginan Affandylah, kami semua keluarkan Qu’ran masing-masing dan mengaji. Subhanallah…..hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu.
Ketika sedang duduk berehat, Affandy minta saya mengurut perutnya lagi. Sempat dia bertanya beberapa soalan…
Affandy : “Ummi, apasal Allah kasi Affandy muntah-muntah?’
Dengan lembut dan yakin, saya menjawap,
Saya : “Sebab Allah hendak keluarkan benda-benda kotor dalam badan Affandy, jadi Allah kasi Affandy muntah. Allah hendak buat Affandy jadi lebih kuat.”
Affandy : “Tapi perut Affandy sakit….”
Saya : “Allah sayangkan Affandy, sebab tu Allah kasi sakit. Bila kita sakit, kita akan selalu ingat Allah. Jadi Allah nak Affandy selalu ingat Allah, sebab tu dia kasi Affandy sakit.”
Saya yakin dia berpuas hati dengan penjelasan saya. Tadi sebelum masuk tidur, saya terdengar dia bercakap sendiri….
“Alhamdulillah, Allah sayang Affandy. Tadi Affandy sakit, sekarang Affandy dah baik. Thank you, Allah”
😀